GEORGE TOWN:Penutupan pintu sempadan Malaysia-Thailand berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sindiket pengedaran dadah mengalih modus operandi penyeludupan menerusi jalan laut dengan menggunakan bot fiber dan nelayan.

Taktik itu dikesan selepas polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk dadah dari negara Laos baru-baru ini.

Sindiket pengedaran dadah terbabit menjadikan jalan laut sebagai laluan alternatif bagi membawa masuk  lebih 800 kilogram (kg) dadah jenis ganja ke Pulau Pinang.

Malah, sindiket tersebut turut menjadikan nelayan sebagai orang tengah bagi membantu membawa masuk  bekalan dadah ketika mereka menangkap ikan di perairan termasuk sempadan negara.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain, Dalam serbuan di Pulau Pinang dan Kedah pada Jumaat lalu, 12 individu termasuk seorang wanita warga Laos dan dalang utama sindiket terbabit berjaya ditahan.

Razarudin berkata sebanyak 865.7kg ganja juga dirampas yang nilainya mencecah RM2.16 juta.

“Jumlah dadah ini dapat digunakan 2,885 penagih dan kejayaan ini, kami pasti bahawa satu sindiket didalangi seorang lelaki berbangsa Melayu dan ahlinya tumpas sepenuhnya.

“Kami percaya disebabkan PKP yang dilaksanakan yang menjadikan semua pintu sempadan ditutup dan daripada maklumat risikan yang kami jalankan, kami tahu laluan laut digunakan dan ia dari negara jiran.

“Kami juga berjaya merampas enam buah kereta, satu bersama enjin dan kami akan mengambil tindakan di bawah Akta Pelucutan Hak Harta,” katanya.

Menurut Razarudin, menerusi serbuan pertama, polis menahan dua lelaki di kawasan Sungai Nibong di George Town dan menemui 250 ketulan ganja di dalam kereta yang dimiliki suspek.

Susulan itu, polis menahan seorang lagi lelaki di Sungai Nibong sebelum menyerbu sebuah bengkel membaiki bot di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan dan menjumpai 621 ketulan dadah dipercayai ganja disembunyikan di situ.

“Tangkapan kedua pada jam 1.30 pagi di Sungai Nibong yang mana tangkapan ini membawa kami ke sebuah bengkel membaiki bot di Simpang Ampat Pulau Pinang.

“Di sana, kami merampas sejumlah 621 ketulan dadah disyaki ganja di dalam sebuah bot.

“Bot yang kami rampas ini ialah bot fiber berukuran 30 kaki berkuasa 175 kuasa kuda,” tambahnya.

Beliau berkata polis turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang berperanan sebagai penjaga bengkel berkenaan bagi memastikan semua dadah tersimpan dalam keadaan selamat.

Turut ditahan nelayan yang berperanan membantu membawa masuk dadah ketika mereka menangkap ikan.

Razarudin berkata susulan penahanan semua ahli sindiket terbabit, polis turut menyita enam buah kenderaan antaranya jenis BMW, Isuzu Dmax, Perodua Myvi dan Honda City dan bot fiber, enjin bot serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM280,752.

Tiga daripada mereka yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah manakala empat lelaki positif dadah.

Kesemua mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 2.9 juta penagih.